Google+ Followers

October 24, 2012

Dato' Sarimah Ahmad Kembali

Petang semalam saya menerima panggilan telefon. Memanggil pihak media untuk membuat liputan mengenai produk terbaharu daripada Dato' Dr. Hj Sarimah Ahmad. Siapa yang tidak kenal dengan primadona tanah air ini yang amat diingati dengan watak Marjina dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Siapa yang melihatnya pasi kagum dengan kecantikan semula jadinya itu.

Allahu Akbar  ... secara peribadi saya mengenali beliau dengan lebih dekat pada tahun 2001 kala bertugas dengan Majalah Anis. Saya berkesempatan menemuinya di sebuah majlis bedah buku novel tulisan Hj. Abu Hassan Morad iaitu 'Cinta Madinah', anjuran Dewan Bahasa Pustaka. Aduhai terkasima sekali dengan kejelitaannya yang tidak dimamah usia. Kala itu Dato' Sarimah Ahmad menyumbang suaranya untuk salah satu watak utama novel ini yang berkisar mengenai hidup seorang wanita yang kehilangan suaminya. Rupa-rupanya suaminya yang disangka telah hilang dan meninggal dunia itu bermastautin dan menetap di bumi Madinah. Pengakhiran cerita cinta tragis ini berakhir apabila kedua-duanya bertemu kembali tatkala pergi menunaikan umrah di Tanah Suci.

Perkenalan GISB dengan primadona ini bermula tatkala kru Anugerah Media Network (syarikat bersekutu GISB) melebarkan sayap penggambaran ke negara Brunei Darussalam. Kru rancangan 'Salam Nusantara' diketuai oleh Hj. Abu Hassan Morad itu turut membawa suami saya sebagai wartawan dan penyelidik untuk program dokumentari ini. Di sanalah detik ukhuwah mula bersemi antara kami dan primadona ini yang memilih kesederhaan hidup biarpun pernah diulit dengan dunia glamor.

Kisah kehidupannya itu kami kongsikan dalam Majalah Anis dan  wajahnya kami abadikan sebagai Penghias Kulit Anis Januari 2002. Manakala untuk Penghias Kulit Anis sekitar tahun 2005 pula dipaparkan selepas Dato' Sarimah membintangi drama 'Cinta Madinah'. Siapa sangka berkat masin mulutnya yang pernah berkata kepada Tn Hj Abu Hassan, "Kalaulah cerita ini mahu difilemkan atau didramakan Kak Mah hendak berlakon," akhirnya menjelma menjadi realiti apabila beliau bersama pelakon utama drama ini iaitu Allahyarham Shukri Hashim, Zul Yahya, Wardina Safiyyah, Hamidah Wahab, Normala Hamzah dan Zulkifli Zain terbang ke Tanah Suci untuk sesi penggambaran.

Selama dua puluh hari kru kami diketuai Hj Abu Hassan Morad berkampung di sana. Lebih memeranjatkan mereka kerana penggambaran ini dilaksanakan di dalam sebuah kebun kurma milik Pak Long Isa - anak jati Kedah yang telah pun menjadi warga Madinah. Rombongan ini turut disertai Hajah Aliyah Sijari dan Hajah Jalilah yang terus menjadi rakan karib primadona ini sehingga ke saat ini. Perhubungan kami dengannya tidak putus walaupun tidak bersua muka. SMS dan panggilan telefon sering menjadi pengubat rindu antara satu sama lain.

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepikan diri, hari ini saya dan team media yang lain dapat berkongsi kisah beliau yang kembali tampil ke depan. Beliau yang menderita penyakit kanser sebelum ini telah kembali sihat seperti sedia kala. Namun kembalinya bukan dengan tangan kosong lantaran janjinya di hadapan Kaabah (sewaktu menunaikan umrah dalam keadaan sakit) ialah untuk berkongsi nikmat sekiranya beliau dipanjangkan umur. Perjuangannya mencari penawar kanser yang dideritai mulai bulan April 2010 yang lalu akhirnya bertemu nokhtah dengan penemuan ubat-ubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Lantaran itulah dia ingin berkongsi dengan semua lapisan masyarakat dengan niat dapat membantu ramai insan lain yang mungkin menghadapi dugaan yang sama.

Sebenarnya banyak lagi yang mahu saya ceritakan dan  insya-Allah, akan saya kongsikan di Majalah Anis tidak lama lagi. Kata-kata beliau di sidang media kala ditebak soalan mengenai corat-coret penderitaannya pasti saya akan kenangi,
"Sakit itu satu nikmat, garis-garis kedut di muka itu melambangkan anugerah-Nya. Setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya."
"Saya juga bukan mahu rumah banglo yang mewah, bukan juga kereta yang menjalar tapi niat untuk berkongsi nikmat kesihatan yang Allah anugerahkan kembali pada saya kerana itulah janji saya ketika dilanda sakit dahulu. Setiap hamba Allah perlu mempunyai fizikal yang sihat untuk kita cergas beribadah kepada-Nya di samping menunaikan tanggungjawab sesama manusia."

Ternyata, primadona yang saya kagumi ini dianugerahkan bukan saja kecantikan lahiriah namun kecantikan dalaman yang tiada tandingan.

Dato' Sarimah Ahmad (dua dari kiri) bersama Dato Freddie Fernandez dan orang kuat Primadona  Worldwide Sdn. Bhd.
Masih anggun biarpun di usia emas. 

Sidang media di Dewan Gulam, Kota Damansara. 

Menunggu teman media yang belum tiba, sempat makan yang ringan-ringan dahulu tapi terus kenyang kala menatap Dato' Sarimah yang kembali cergas dan aktif seperti dahulu. 

No comments: